Mendaki Gunung Nuang Dari Janda Baik

Dengan ketinggian 1,493 meter, Gunung Nuang adalah gunung yang paling dekat dengan Bandaraya Kuala Lumpur. Walaupun ia paling dekat dengan Kuala Lumpur, ia bukan yang paling mudah.

Untuk beginner, lebih baik elakkan. Kau habiskan dulu bukit-bukit di sekeliling Kuala Lumpur dan Selangor sebelum mencuba Nuang. Kalau kau baru sahaja berjinak-jinak dengan Bukit Botak, baik jangan, tetapi kalau kau dah biasa dengan Bukit Saga, tak ada masalah untuk ke Nuang.

Puncak Gunung Nuang bersempadan di antara negeri Selangor dan Pahang. Kau boleh mendaki Gunung Nuang sama ada dari Janda Baik, Kuala Pangsun di Hulu Langat atau pun Kemensah.

Kali ini pasukan kami memilih untuk mendaki Gunung Nuang dari Janda Baik. Pendakiannya lebih singkat berbanding Kuala Pangsun. Kami memilih Gunung Nuang untuk latihan terakhir kami sebelum ke Gunung Kinabalu. Ia dipilih kerana selepas sahaja kawasan air terjun, pendakian adalah terus tegak ke atas di antara 2 ke 3 jam hingga sampai ke puncak. Hampir meniru pendakian dari Tempohon ke Laban Rata di Gunung Kinabalu, of course di sana lebih jauh dan lebih tinggi.

Sungai di tempat bermula mendaki
Anak sungai di tempat permulaan di Janda Baik

Kami memulakan pendakian pada pukul 7:30 pagi. Seperti yang aku katakan tadi, Nuang tidak sesuai untuk seseorang yang ingin mendaki secara santai. Pada permulaan pendakian adalah agak mudah. Kau akan melalui ladang sayur. Ada pokok cili, kacang panjang, kacang botol dan juga pokok durian. Kalau tak pernah lihat semua pokok ni, ia adalah sesuatu yang cool, tapi jangan nampak pelik pulak di depan orang lain ya.

Ladang sayur

Kemudian kau akan melalui jalan yang ditutup oleh batu-batu kerikil hampir 15 minit sebelum permulaan hutan dan pendakian akan bermula. Kawasan ini dipenuhi dengan pokok buluh, ada yang dah jatuh dan patah. Kau perlu berhati-hati dengan potongan buluh yang tajam.

Kami mendaki pada cuti Hari Raya Cina, orang pun tak ramai dan bukan lagi musim hujan, kawasan agak kering dan tidak berlecak. Agak mudah di sini. Selepas 30 minit melalui kawasan buluh dan juga kawasan hutan, sampailah ke air terjun.

Air Terjun di Gunung Nuang
Air terjun selepas sejam pendakian
Berkhemah di Gunung Nuang
Berkhemah di tepi Sungai berdekatan air terjun

Ada geng yang berkhemah di sini pada malam sebelumnya. Langkah kanan bila sampai, kami dipelawa untuk sama-sama menikmati sebiji buah termbikai yang baru mereka potong.

Rezeki jangan ditolak.

Selepas kawasan air terjun, pendakian perlahan-lahan menjadi semakin sukar. Kau akan mendaki dan terus mendaki sampai lah ke puncak. Ada beberapa tempat yang kecuramannya melebihi 70%. Kawasan ini lah yang paling mencabar, sebab kalau mental tak kuat, mungkin ada yang berpatah balik dan menunggu sambil mandi di air terjun sementara sahabat-sahabat yang lain naik dan turun.

Pokok ini memang besar dan tinggi

Kau akan dihidangkan dengan flora dan fauna hutan simpanan kekal negeri Pahang sepanjang pendakian. Kau juga akan ditemani oleh bunyi-bunyi burung, ungka dan monyet. Kau tak akan sunyi sepanjang perjalanan. Buat mereka yang meminati alam semula jadi dan ingin lari dari kesibukan kota, irama hutan ini memang mengasyikkan. Hilang segala stress.

Ulat ini hanya sepanjang jari telunjuk
Berhati-hati semasa melangkah balak, silap hari bulan kena gigit

Pemandangan di Puncak Gunung Nuang agak tertutup disebabkan kabus menebal di puncak. Kalau tak ada kabus pun, ianya dikelilingi oleh kehijauan hutan simpanan kekal. Di puncak ada beberapa ekor tupai yang agak jinak dan kalau kau berani, tupai tu akan datang mengambil makanan dari tangan kau.

Kami berehat sebentar di sini sambil menikmati makanan tengahari yang dibawa sebelum bergerak turun ke bawah.

Puncak Gunung Nuang

Bagaimana Hendak Ke Tempat Mendaki Di Janda Baik

  • Cari ‘Starting Point Gunung Nuang via Janda Baik’ di Google Maps. Linknya di sini. Rumah aku di Sungai Buluh, lebih kurang satu jam perjalanan.
  • Ikut sahaja Google Maps dan kau akan dibawa terus ke tempat letak kereta. Parking di sini dikenakan bayaran RM10. Bayaran itu termasuk penggunaan tandas dan ruang solat.

Tips Untuk Mendaki Gunung Nuang

Mula awal. Aku dan kawan-kawan biasanya mula mendaki seawal 7:30 pagi. Masa ni lah udara masih segar, nyaman dan tidak panas. Bila dah naik awal, boleh turun lebih awal dan lebih banyak masa boleh diluangkan untuk bermandi-manda di air terjun. Jika kau ingin mulakan lebih awal pun tak mengapa, cuma pastikan kau bawa lampu suluh. Pastikan yang jenis boleh diikat di kepala. Senang nak bergerak. Seloknya keluar awal dan solat subuh di RNR Genting Sempah. Lepas itu sarapan dan terus ke tempat permulaan mendaki.

Pakai Kasut Yang Sesuai. Berbelanjalah lebih sedikit untuk sepasang kasut hiking yang sesuai dengan kaki dan juga sepasang stokin yang selesa. Kalau nak beli kasut, belilah pada waktu petang. Kaki kau biasanya akan membesar sedikit selepas seharian berjalan. Pakai juga baju yang mempunyai pelesapan haba dan peluh yang baik. Seluar khas untuk hiking juga amat disyorkan.

Bawa 2 ke 3 liter air. Ini banyak bergantung kepada penggunaan air masing-masing. Tapi seelok-eloknya bawa lebih. Aku memang memerlukan 3 liter untuk naik dan turun Gunung Nuang. Walaupun ada air sungai untuk isi semula, tetapi kalau kau tak ada LifeStraw, tak perlulah ambil risiko.

Bawa Makan Tengahari Sendiri. Pendakian naik dan turun Gunung Nuang boleh secepat 6 jam atau pun selambat 9 jam bergantung kepada tahap kecergasan masing-masing. Paling tidak pun, sebiji buah epal, sekeping coklat Mars dan sekeping Hutan Ration. Jangan lupa bersarapan sebelum mendaki.

Paling penting! Kalau dah 2 petang dan masih tak sampai puncak, pusing lah balik. Ini untuk memastikan kau boleh sampai ke bawah semasa langit masih cerah.

Selain itu, kau juga mungkin memerlukan baju hujan pakai buang, sarung tangan, hiking pole, sunblock dan insect repellent, bergantung kepada keperluan masing-masing.

Permit Untuk Mendaki Gunung Nuang

Laluan ke Gunung Nuang dari Janda Baik berada dalam kawasan hutan simpanan kekal negeri Pahang. Bagi menjalankan sebarang aktiviti dalam hutan simpanan kekal, setiap pendaki perlu mendapatkan permit dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. Permohonan boleh dilakukan di atas talian, tetapi bayaran perlu dibuat secara tunai di Pejabat Hutan Bentong atau menggunakan Wang Pos jika melalui pos. Maklumat lanjut di web Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Selamat mendaki!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top